Wednesday, November 18, 2009

PAS bantu mangsa kebakaran

Ustaz Abu Bakar (kiri sekali) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad

KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus hari ini tampil membantu mangsa kebakaran di Kampung Kelab Aya, Pulau Duyung Besar.

Dalam kejadian pada tengah hari Isnin lalu, rumah kayu milik Mohamad Omar, 57, musnah dijilat api dan hanya tinggal sehelai sepinggang. Anggaran kerugian ditaksirkan sejumlah RM150,000. Ia termasuk empat buah motosikal dan tiga mesin jahit yang baru dibeli.

Mohamad yang juga Naib Ketua PAS Cawangan Kelab Aya adalah seorang peniaga kedai runcit di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

Rumah itu didiami oleh 14 penghuni termasuk seorang warga emas yang juga kepada Mohamad, Omar Jusoh, 86. Beliau yang dalam keadaan uzur berjaya diselamatkan ketika kejadian.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah bersama Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Dr Alias Razak yang juga ADUN Bukit Tunggal, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Zakaria Dagang dan Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Kawasan, Syed Ibrahim Syed Husin melawat mangsa kebakaran di Kg Kelab Aya pada petang tadi (Rabu).

Ustaz Abu Bakar yang juga Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Negeri Terengganu turut menyampaikan sedikit sumbangan yang berjaya dikumpul setakat ini.

Sumbangan boleh terus dihulurkan melalui akaun:
Bank: RHB
No Akaun: 16301500042440
Nama: Alias Nor Ismail (menantu mangsa)

Berita berkaitan: PAS Cawangan Kg Banggol Pauh

read more...

Monday, November 16, 2009

Sejarah PAS Kawasan Kuala Nerus


Latar belakang penubuhan

PAS Kawasan Kuala Nerus telah ditubuhkan pada tahun 1959 dengan nama PAS Cawangan Kuala Terengganu Utara. Sebelum penubuhannya, kawasan ini adalah sebahagian daripada Kawasan Kuala Terengganu yang ditubuhkan lebih awal iaitu pada tahun 1956.

PAS Kawasan Kuala Terengganu pada asalnya mengandungi dua kawasan parlimen, iaitu Kuala Terengganu Selatan dan Kuala Terengganu Utara. Ia meliputi lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Batu Rakit, Kuala Nerus, Jeram, Langkap, Bandar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Burok.

Setelah mendapat mandat daripada ahli-ahlinya, PAS Kawasan Kuala Terengganu dipecahkan kepada dua kawasan iaitu Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan selaras dengan dua kawasan parlimen. DUN pula dibahagikan mengikut kedudukan kawasan parlimen iaitu Batu Rakit, Kuala Nerus, Jeram dan Langkap diletakkan dalam Kawasan Kuala Terengganu Utara , sementara DUN Bandar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Burok dimasukkan ke dalam Kawasan Kuala Terengganu Selatan.

Beberapa perubahan berlaku di Kawasan Kuala Terengganu Utara ekoran persempadanan baru sebelum pilihan raya umum tahun 1974. Kawasan Parlimen ditukar nama kepada Parlimen Kuala Nerus. DUN Jeram dikekalkan. DUN Kuala Nerus ditukar nama kepada DUN Seberang Takir, tetapi dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam Parlimen Hulu Nerus. Sementara DUN Bukit Tunggal diwujudkan, manakala DUN Manir dan DUN Bukit Payong pula dimasukkan ke dalam Kawasan Kuala Nerus.

Pada tahun 1985 sekali lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persempadanan baru. DUN Seberang Takir dimasukkan semula ke dalam Kawasan Kuala Nerus. DUN Jeram dimansuhkan, manakala DUN Tepoh dan DUN Telok Pasu diwujudkan. Tiga DUN itu beserta DUN Bukit Tunggal membentuk kawasan Kuala Nerus yang baru. Dua lagi DUN, iaitu DUN Manir dan DUN Bukit Payong masing-masing dimasukkan ke dalam Kawasan Hulu Terengganu dan Kawasan Marang.

Pejabat pertamanya ialah sebuah rumah sewa di Kampung Padang Air (rumah Ibrahim Ariffin) sebelum berpindah ke Batu Enam dan terus beroperasi di pekan itu sehingga sekarang.

Pemimpin PAS Kawasan

Sejak ditubuhkan pada tahun 1959 sehingga sekarang (2009), PAS Kawasan dipimpin oleh Yang Dipertuanya sebagaimana berikut:-

Pertama: Haji Ismail bin Abas (1959 – 1969) Beliau ialah seorang ahli perniagaan. Beliau menyertai PAS setelah memenangi Pilihan Raya Umum 1959 bagi DUN Langkap atas tiket Parti Negara. Kerajaan PAS melantik beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Pada Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969, beliau bertanding sebagai calon PAS di DUN Langkap, tetapi tewas kepada Abdul Rahman Long (calon Parti Perikatan). Pada Pilihan Raya Umum 1974, Haji Ismail bertanding sebagai calon Bebas di DUN Jeram kerana tidak bersetuju dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional.

Kedua: Haji Hashim bin Embong (1969 – 1971)
Beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1937 pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus yang pertama sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan menggantikan Haji Ismail Abas. Beliau pernah dipilih sebagai ADUN Kawasan Jeram pada tahun 1969 setelah mengalahkan calon Perikatan, Abd Rashid Mohammad dengan majoriti 49 undi. Pada Pilihan Raya Umum 1978, beliau sekali lagi bertanding dalam kawasan yang sama, tetapi tewas di tangan Abd Rashid dengan majoriti 23 undi. Beliau meninggal dunia pada tanggal 7 Oktober 2006.

Ketiga: Ustaz Haji Awang bin Abu Bakar (1971 – 2001)
Beliau merupakan seorang ulama’ yang lantang. Lulusan Universiti Deoband di India dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Beliau merupakan menantu kepada Tuan Guru Haji Abas Mohammad, seorang ulama’ dan pengasas Pondok Tok Jiring. Buat pertama kalinya dicalonkan dalam pilihan raya bagi DUN Kuala Nerus pada tahun 1969, tetapi tewas di tangan Ibrahim Fikri Mohamad (Perikatan) dengan majoriti 320 undi.

Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Batu Rakit pada 21 Ogos 1971, beliau dicalonkan menentang calon Perikatan, Dato’ Nik Hassan Abd Rahman, tetapi tewas.
Ketika PAS dalam Barisan Nasional beliau diamanahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1974 bagi DUN Jeram dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan dua calon Bebas dengan kelebihan undi sebanyak 983. Kemudian beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau seterusnya dicalonkan dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 1978 dan 1982 (DUN Bukit Tunggal), 1986 (DUN Seberang Takir) dan 1990 (DUN Teluk Pasu), tetapi semuanya tewas di tangan calon Barisan Nasional.

Beliau telah dianugerahkan Tokoh PAS sempena Sambutan Jubli Emas PAS Malaysia peringkat Negeri Terengganu pada 17 & 18 Ogos 2001. Pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-24 pada tahun 2001 beliau menarik diri daripada bertanding kerana uzur, setelah memimpin PAS Kawasan Kuala Nerus selama 30 tahun.

Keempat: Ustaz Haji Abu Bakar bin Abdullah (2001 – sekarang)
Beliau adalah lulusan syariah dan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1983. Pernah ditahan oleh pihak polis dalam demonstrasi pelajar di universiti pada 3 Disember 1974 dan ditempatkan dalam kem tahanan di Jalan Gurney, Kuala Lumpur selama dua hari satu malam bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor (Almarhum), bekas Presiden PAS dan pemimpin pelajar yang lain.

Beliau juga adalah pengasas Institut Berakan, sebuah sekolah menengah swasta di Kuala Terengganu dan Madrasah Darul Taqwa, sebuah sekolah rendah Islam di Batu Enam. Beliau pernah diamanahkan sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat di bawah kepimpinan dua orang ketua, iaitu Ustaz Abdul Halim Arshad dan Ustaz Abu Bakar Chik. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia yang pertama dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi tahun 1991 – 1993.

Dipilih menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum pada 1986 dan 1990 bagi DUN Tepuh, tetapi tewas di tangan calon Barisan Nasional. Dalam dua pilihan raya berikutnya, iaitu 1995 dan 1999, beliau berjaya memenangi kerusi yang sama. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan Negeri pada 1999 hingga 2004. Dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 beliau tewas di tangan calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Tepuh.

Beliau telah dianugerahkan Tokoh Pemuda PAS sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS peringkat Negeri Terengganu pada 6 – 9 Ogos 2003 dan Tokoh PASTI Negeri Terengganu sempena Sambutan Jubli Perak PASTI Terengganu pada 22 – 24 Oktober 2009.

Setiausaha-Setiausaha PAS Kawasan

Pertama: Cikgu Haji Mustafa bin Mohd Zain (1959 – 1967)
Kedua: Syed Shafie bin Tuan Baharu (1967 – 1969)
Ketiga: Abd Rahim bin Abd Rahman (1969 – 1977)
Keempat: Haji Mokhtar bin Haji Mohd (1977 – 1979)
Kelima: Ustaz Haji Abidin bin Embong (1979 – 1981)
Keenam: Mohamad bin Haji Abdullah (1981 – 1983)
Ketujuh: Cikgu Hussin bin Ismail (1983 – 1985)
Kelapan: Ustaz Abu Bakar bin Abdullah (1985 – 2001)
Kesembilan: Zakaria bin Dagang (2001 – 2009)
Kesepuluh: Tuan Chik bin Tuan Muda (2009 – sekarang)

Ketua-Ketua Dewan Pemuda

Pertama: Haji Hashim bin Embong (1959 – 1969)
Kedua: Haji Ahmad bin Muda (1969 – 1975)
Ketiga: Ustaz Haji Abidin bin Embong (1975 – 1977)
Keempat: Ustaz Abu Bakar bin Chik (1977 – 1985)
Kelima: Ustaz Haji Nik Kamaruddin bin Ibrahim (pemangku) (1984 – 1985)
Keenam: Ustaz Haji Mahmood bin Sulaiman (1985 – 1991)
Ketujuh: Zakaria bin Dagang (1991 – 2001)
Kelapan: Mohd Nordin bin Mahmood (2001 – 2003)
Kesembilan: Ustaz Haji Ahmad Bukhori bin Ghazali (2003 – 2007)
Kesepuluh: Ustaz Ridzuan bin Haji Hashim (2007 – sekarang)

Ketua-Ketua Dewan Muslimat

Pertama: Hajah Tengku Mandak binti Embong (1959 – 1969)
Kedua: Ustazah Hajah Rokiah binti Haji Abas (1969 – 1993)
Ketiga: Ustazah Hajah Tengku Aminah binti Tengku Alias (1993 – sekarang)

Ketua-Ketua Urusan Ulama’

Pertama: Ustaz Haji Ismail bin Haji Mamat (2001 – 2009)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Che Dagang (2009 – sekarang)

Pengerusi/Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD)

Tepuh:
Pertama: Ustaz Haji Abu Bakar bin Abdullah (1985 – sekarang)

Teluk Pasu:
Pertama: Haji Hashim bin Embong (1985 –1999)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Mamat (1999 – 2007)
Ketiga: Tuan Chik bin Tuan Muda (2007 – 2009)
Keempat: Ustaz Haji Ismail bin Mamat (2009 – sekarang)

Seberang Takir:
Pertama: Abdullah bin Salleh (1985 – 1987)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Che Dagang (1987 – 1995)
Ketiga: Ustaz Yusof bin Abu Bakar (1995 – 1997)
Keempat: Zakaria bin Dagang (1997 – sekarang)

Bukit Tunggal
Pertama: Ustaz Haji Rashid bin Omar (1985 – 1989)
Kedua: Haji Harun bin Salleh (1989 – 1993)
Ketiga: Dr Haji Alias bin Razak (1993 – sekarang)

Penyertaan PAS Kawasan dalam pilihan raya PAS Kawasan Kuala Nerus mula menyertai pilihan raya pada tahun 1959. Dua orang calonnya telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut. Mereka ialah Ustaz Ahmad Azzam bin Hanafiah, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu di kerusi DUN Jeram dan Ustaz Haji Hassan Adli bin Haji Arshad bagi Parlimen Kuala Terengganu Utara. PAS Kawasan mendapat satu kerusi bonus apabila Haji Ismail bin Abas, calon Parti Negara yang memenangi kerusi DUN Langkap menyertai PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum 1964, PAS Kawasan gagal mendapat sebarang kerusi DUN dan Parlimen. Pilihan raya umum tahun 1969, PAS Kawasan memenangi satu kerusi DUN, iaitu Jeram menerusi calonnya, Haji Hashim bin Embong.

Pilihan Raya Kecil DUN Batu Rakit tahun 1971 diadakan apabila kerusi itu dikosongkan oleh ADUN Perikatan, Dato’ Mansor Mohamad. PAS menerusi calonnya, Ustaz Awang Abu Bakar gagal merebut kerusi tersebut apabila tewas di tangan calon Perikatan, Nik Hassan Abd Rahman. Nik Hassan dicalonkan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Encik Mahmood Sulaiman.

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PAS memenangi kerusi-kerusi DUN Jeram dan DUN Bukit Payung menerusi calon-calonnya Ustaz Awang Abu Bakar dan Haji Mokhtar Haji Mohd yang bertanding atas tiket Barisan Nasional. Dalam Pilihan Raya Umum 1978, PAS gagal mendapat sebarang kerusi, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen di seluruh negeri Terengganu.
PAS Kawasan Kuala Nerus bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum 1982 apabila memenangi dua kerusi DUN menerusi calon-calonnya, Ustaz Abu Bakar Chik (Jeram) dan Ustaz Harun Taib (Manir).

Kemenangan itu gagal dipertahankan pada Pilihan Raya Umum 1986 apabila PAS gagal mendapat sebarang kerusi. Kegagalan itu terubat menerusi Pilihan Raya Kecil DUN Teluk Pasu pada tahun 1989. PAS menang menerusi calonnya, Ustaz Harun Taib yang mengalahkan calon Barisan Nasional, Haji Abd Rahman Mohamad dengan kelebihan 141 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990, PAS menyertainya bersama dengan Parti Semangat 46 dalam gagasan Angkatan Perpaduan Ummah. Walaupun PAS gagal mendapat sebarang kerusi DUN atau Parlimen, rakan gabungannya, Semangat 46 berjaya menawan DUN Bukit Tunggal.
Kekecewaan itu terubat menerusi Pilihan Raya Umum 1995, apabila dua DUN ditawan, iaitu Tepuh dan Teluk Pasu. Di DUN Tepuh, calon PAS ialah Ustaz Abu Bakar Abdullah dan DUN Teluk Pasu pula Ustaz Ismail Mamat.

Pilihan Raya Umum 1999 menyaksikan pencapaian paling cemerlang PAS Kawasan Kuala Nerus. Ia memenangi tiga kerusi DUN menerusi calon-calonnya, Ustaz Abu Bakar Abdullah (Tepuh), Ustaz Ismail Mamat (Teluk Pasu) dan Dr Alias Razak (Bukit Tunggal). Manakala kerusi Parlimen turut ditawan menerusi calonnya, M. Shukrimun Shamsudin.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, PAS Kawasan gagal memenangi sebarang kerusi, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Sementara dalam Pilihan Raya Umum 2008, PAS berjaya menawan kembali DUN Bukit Tunggal melalui calonnya, Dr Alias Razak.

Tribulasi perjuangan

PAS Kawasan Kuala Nerus tidak banyak menghadapi krisis dalaman. Cuma sekali sahaja berlaku kekecohan akibat daripada perebutan jawatan pimpinan tertinggi Kawasan pada tahun 1969 yang berakhir dengan penggantungannya.

Kekecohan tersebut berlaku ketika diadakan mesyuarat agung pemilihan parti, apabila jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan dikosongkan oleh Haji Ismail Abas. Perselisihan berlaku antara para penyokong Setiausaha PAS Kawasan ketika itu, Syed Shafie Tuan Baharu yang ingin bertanding merebut jawatan itu dengan penyokong seorang lagi calon, Ustaz Awang Abu Bakar. Penyokong Ustaz Awang dihalang daripada menyertai mesyuarat agung tersebut. Akibatnya mesyuarat agung tersebut dibatalkan dan pucuk pimpinan parti menggantung keahlian Syed Shafie Tuan Baharu dan menggantung PAS Kawasan Kuala Nerus.

Beberapa peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku dalam siri perjuangan PAS Kawasan, terutama akibat tindakan kerajaan Umno / Perikatan / Barisan Nasional.

Pertama: Program PAS terutamanya ceramah diganggu dengan menggunakan Pemuda Tahan Lasak Umno sekitar tahun 1960an hingga 1970an dan 1980an.

Kedua: Penangkapan dan penahanan Ustaz Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Pemuda yang ketiga di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun di Kem Kemunting, Perak. Ia berlaku pada 12 Jun 1984, jam 1.00 pagi di rumahnya di Kampung Tok Jiring. Semasa dalam tahanan beliau dicalonkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus menentang calon Barisan Nasional, Haji Ibrahim Azmi Hassan, tetapi tewas dengan majoriti 7,926 undi.

Ketiga:
Pada hari Jumaat 26 Ogos 2005, Ceramah Isu Dewan Undangan Negeri di Masjid Taqwa, Batu Enam diganggu pasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Mereka melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air berasid menyebabkan orang ramai bertindak balas. Beberapa orang awam ditahan reman. Beberapa pemimpin PAS Negeri dan Kawasan turut dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat.

Pemimpin PAS Negeri berkenaan yang hadir ialah Dato’ Haji Harun Taib dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut. Sementara Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Dato’ Haji Wan Abd Muttalib Embong tidak hadir. Pemimpin PAS Kawasan pula ialah Ustaz Haji Ismail Che Dagang (Timbalan Yang Dipertua), Zakaria Dagang (Setiausaha) dan Dr Haji Alias Razak (Ketua Penerangan). Orang awam yang direman antaranya ialah Cikgu Haji Mohamad Husin, Mukhtar Abd Rahman, Anuar Yusof, Mohd Sazuwan Othman, Mohd Zul Ali, Mohd Rafi dan Adnan Haji Jusoh.

PAS Kawasan bersama masyarakat

PAS Kawasan Kuala Nerus bukan sahaja sebagai sebuah parti politik Islam, tetapi sebagai gerakan Islam yang bertanggungjawab menegakkan pemerintahan dan negara Islam bagi memenuhi tuntutan Islam sebagai ad-Din. Di samping gerak kerja politik dan pilihan raya, PAS Kawasan juga menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan lain-lain.
Dalam bidang pendidikan, PAS Kawasan telah menubuhkan institusi pendidikan formal seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di peringkat prasekolah dan Darul Taqwa (sekolah rendah). Manakala di peringkat menengah belum ditubuhkan lagi. Namun demikian, sebuah institusi pendidikan Islam ditubuhkan oleh pemimpin PAS dalam Kawasan Kuala Nerus iaitu Ma’ahad at-Tahfiz wal-Tarbiyah Darul Iman, Tok Jiring. Di samping itu, markas-markas tarbiyah ditubuhkan dan dijadikan sebagai pusat pendidikan dan pengajian masyarakat sepanjang hayat (long life education) secara informal.

Dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan, PAS Kawasan terus meningkatkan aktivitinya dengan menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN. Aktiviti ini dijalankan sepanjang masa di tengah-tengah masyarakat dalam kawasan Kuala Nerus. Bagi memastikan aktiviti kebajikan berjalan dengan baik dan lancar, maka PAS Kawasan menubuhkan pasukan khidmat sukarela dan lain-lain lagi.

Cawangan dan Ahli PAS

Rekod awal berhubung dengan Cawangan-Cawangan (dulu dikenali sebagai Ranting) PAS di Kawasan ini tidak diperolehi. Bagaimanapun, mengikut rekod pendaftaran Cawangan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, antara Cawangan-Cawangan awal yang ditubuhkan di Kawasan ini ialah Kuala Belara, Banggol Peradong, Teluk Pasu, Jeram, Petaling, Tanjong Gelam, Buloh Gading, Tanjong Bunut, Bukit Tumboh dan Kedai Tepoh.

Sehingga tahun 2009, setelah 50 tahun umur PAS Kawasan Kuala Nerus, Cawangan yang berdaftar di Kawasan ini ialah 86 buah.

Begitu juga dengan rekod keahlian berdaftar di Kawasan ini. Data lengkap hanya diperolehi bermula tahun 1993. Sehingga tahun 2009, jumlah ahli dalam rekod PAS Kawasan Kuala Nerus ialah seramai 9,272.

Penutup

Bagi Sesi 2009/2011, PAS Kawasan Kuala Nerus ditadbir oleh 36 orang Ahli Jawatankuasa diketuai oleh Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah merangkumi 86 buah Cawangan dan 10,081 orang ahli.

Dewan Pemuda pula mempunyai 23 orang ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Ustaz Ridzuan Haji Hashim. Manakala Dewan Muslimat jua mempunyai 23 orang ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Ustazah Hajah Tengku Aminah Tengku Alias, dan Urusan Ulama’ dipimpin seramai 20 orang ahli jawatankuasa diketuai oleh Ustaz Haji Ismail Che Dagang.
read more...

Wednesday, November 11, 2009

Aturcara Sambutan Jubli Emas PAS Kuala Nerus


Aturcara penuh Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus:

read more...

Sunday, November 1, 2009

Kuala Nerus johan pidato HIMPIT

Abdul 'Alim dan Nasih Ulwan dengan hadiah masing-masing

KEMAMAN: Wakil Kuala Nerus, Abdul 'Alim Zakaria telah muncul sebagai johan dalam Pidato Politik sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Kemaman Jumaat lepas.

Beliau yang menyampaikan pidato dengan tajuk "Peranan Pemuda" telah mengalahkan tujuh peserta lain yang mewakili setiap Kawasan dalam negeri ini.

Selain itu, wakil Kuala Nerus juga berjaya mendapat tempat ketiga dalam Karaoke Nasyid dalam majlis sama. Muhammad Nasih Ulwan Zakaria yang mengalunkan lagu "Menanti Di Barzakh" yang dipopularkan oleh Kumpulan Far East mendapat tempat ketiga daripada 18 orang peserta pertandingan itu.

Sementara itu, dalam Pertandingan Classic Motor Show, Kuala Nerus menduduki tempat kedua. Pasukan sepak raga bulatan Kuala Nerus pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang dilangsungkan dalam HIMPIT itu.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu yang turut merasmikan majlis penutup HIMPIT.
read more...

Tuesday, October 20, 2009

Sambutan Jubli Emas PAS Kuala Nerus

KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus akan mengadakan sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus sempena genap 50 tahun penubuhannya pada tahun 1959 lalu. Sambutan itu akan diadakan pada 14 November 2009 di Dataran Darul Taqwa, Batu Enam.

Menurut Pengarah sambutan, Dr Alias Razak, pelbagai acara telah disusun bagi mengisi program tersebut.

"Majlis akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada sebelah paginya," ujar beliau.

Dr Alias yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan menambah, acara-acara lain ialah pameran sejarah 50 tahun PAS Kawasan beserta penerbitan khas dalam bentuk buku dan cakra padat video (VCD), sukaneka, persembahan pentas dan acara muslimat.

"Lima ekor lembu dijangka akan disembelih bagi jamuan rakyat yang akan diadakan pada sebelah tengah harinya," katanya.


Beliau turut menyeru kepada ahli-ahli dan penyokong PAS khususnya dari kawasan ini untuk memberi sumbangan dalam bentuk aqiqah dengan kadar satu bahagian RM300 dan sumbangan-sumbangan dalam bentuk lain.


Dalam hubungan ini, kata beliau, kupon-kupon derma akan diedarkan ke Cawangan-Cawangan PAS seluruh kawasan ini untuk memberi peluang kepada ahli-ahli dan penyokong menyumbang dalam bentuk kewangan.


Kemuncak dari majlis tersebut ialah ceramah perdana penutup pada sebelah malamnya yang akan membariskan tokoh-tokoh utama PAS.
read more...

Monday, October 19, 2009

Kuala Nerus tempat kedua Anugerah Keahlian


KUALA TERENGGANU - PAS Kawasan Kuala Nerus telah mendapat tempat kedua dalam Anugerah Keahlian Peringkat Negeri sempena Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2009 yang berlangsung pada 17 Oktober 2009 di Markaz Tarbiyah PAS, Kubang Lembek, Manir dekat sini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah mewakili PAS Kawasan menerima anugerah berupa replika cek bernilai RM1,500 itu.

Penerima anugerah tempat pertama ialah PAS Kawasan Marang, sementara tempat ketiga dikongsi oleh PAS Kawasan Dungun dan PAS Kawasan Kemaman.

Anugerah tersebut adalah sebagai insentif kepada PAS Kawasan di negeri ini yang berjaya mendaftar ahli baru PAS sepanjang tempoh hampir setahun sejak Januari lalu.

Sekalung tahniah kepada PAS Kawasan atas anugerah tersebut.
read more...

Friday, August 28, 2009

Ramadhan oh Ramadhan

RAMADHAN
Dengan rahmat Tuhan Ramadhan tiba lagi
Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyaknya
mahal dan besar-besar dari Tuhan
Hadiah buat orang bertaqwa
Bukan untuk orang Islam
Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim dan fasiq
Hadiah dari Tuhan yang bermacam-macam
Diletakkan di dalam batil-batil dari bahan-bahan yang mahal
Di antara hadiah-hadiah itu ialah:
1. hadiah keampunan Tuhan, hadiah terbesar buat orang yang bertaqwa
2. hadiah keredhaan-Nya juga mahal
3. kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan
4. rahmat-Nya
5. berkat dari-Nya dunia Akhirat
6. diberi-Nya pahala berganda-ganda.
7. hadiah lailatul qadar diberi ganjaran seribu tahun beribadah.
8. akhirnya Syurga Tuhan yang kekal abadi.
Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya bertukar-tukar hadiah di antara hamba-hamba dengan Tuhan
Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja
Hadiah dari Tuhan adalah mahal nisbah hamba
Hadiah dari hamba adalah mahal juga untuk Tuhan
Siapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Tuhan maka dapatlah hadiah dari Tuhan yang juga sangat mahalnya
Rupanya ketibaan Ramadhan pun bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan
Tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Tuhan
Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang balas hadiah oleh Tuhan seperti yang akan disebutkan
Wadah-wadah orang yang bertaqwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadiada pulangannya
Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya:
1. Ada wadah puasa yang diisi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba Rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur
2. Wadah sembahyang diisi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat, Rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawadhuk, khusyuk, Gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.
3. Wadah membaca Al Quran diisi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan, Terasa kebesaran Tuhan, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insane, Hati tenang, bertambah takut dengan Tuhan dengki hilang
4. Wadah zikir seperti tasbih, tahmid, takbir diisikan dengan mensucikan Tuhan, Memuji Tuhan, membesarkan Tuhan, tawakkal, penyerahan diri kepada Tuhan, baik sangka
Membesarkan Akhirat, mudah dengan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinyaTenang dengan dunia, gelisah dengan Akhirat
Jika setiap wadah-wadah tadi dapat diisi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi
Orang bertaqwa sungguh dapat manghayati Ramadhan dengan akal fikiran,hati dan jiwa raganya
Roh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya
Roh di atas roh, jiwa di atas jiwa
Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan
Itulah orang bertaqwa
Orang bertaqwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar
Kerana orang bertaqwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Tuhan
Hadiah-menghadiah bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan
Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Tuhan seperti yang telah dinyatakan
Dia tidak akan dapat hadiah dari Tuhan
Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Tuhan sia-sia sahaja Ramadhan
Dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan dan keletihan
Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui
Adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Tuhan?
Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Tuhan setiap Ramadhan bukan?
Apakah hadiah hadiah kita itu Tuhan balas dengan hadiah yang telah disebutkan?
Semua soalan-soalan itu setiap orang boleh memberi jawapan
Berdasarkan ilmu pengetahuan seperti yang digambarkan
Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Tuhan di bulan Ramadhan
Kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum dan makan
Pesta borak-borak dan bualan-bualan selepas sembahyang sebelum pulang
Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Tuhan
Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa
Ramadhan bukan pesta lahiriah
Atau pesta syariat rohnya tidak ada...
read more...

Thursday, August 27, 2009

Tahniah : Kemenangan PRK N11 Permatang Pasir



Alhamdulillah, kemenangan PRK telah diberikan oleah Allah kepada pejuang islam. Diharapkan kemenangan ini akan memperkukuhkan lagi PAS dalam menerajui kepimpinan Islam di masa akan datang. Bagi kita marilahlah kita mengambil roh semangat ini untuk kita menawan Negeri Terengganu dalam usaha kita memertabatkan Islam yang tertangguh di negeri kita ini. Mari kita sama-sama bekerja dalam satu pasukan, satu fikrah, satu misi, satu aqidah, satu wala', mudah-mudahan Allah akan memberikan jalan kepada kemenangan kepada kita. Ayuh kita bangun dari kelekaan kita dengan kita menyegarkan diri kita dengan perjuangan islam yang suci ini.




read more...

Monday, August 24, 2009

Membina Roh Ramadhan

Alhamdulillah kita sekarang ini berada di bulan tarbiyyah, Ramadhan Kareem yang penuh dengan ganjaran yang berlipat kali gandayang disediakan oleh Allah kepada hambanya yang binginkan ketaqwaan.

Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.

Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".

Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:
Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.
read more...

Friday, August 14, 2009

Maksiat punca wabak H1N1

KUALA NERUS - Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata maksiat yang berleluasa, tidak terkawal yang berlaku dalam negara ini menyebabkan Selsema Babi kini menjadi satu wabak merbahaya.

Katanya, pelbagai jenis penyakit berjangkit yang belum pernah wujud selama ini merupakan tanda kemurkaan Allah SWT.

“Dunia hari ini dilanda wabak penyakit berbahaya dan negara kita juga menerima wabak yang boleh membawa maut kepada sesiapa sahaja.

“Kita kena akui negara kita hari ini banyak maksiat dan Allah SWT turunkan ‘bala’ dalam bentuk penyakit kepada manusia,” jelasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Penerangan PAS di Kampung Pagar Ubi, semalam.

Menurutnya, bala penyakit bukan perkara baru malah pernah diturunkan kepada umat terdahulu kerana melanggar perintah Tuhan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus menjelaskan bahawa umat terdahulu dilanda wabak ‘taun’ yang merbahaya serta membunuh manusia kerana maksiat.

Kini, katanya pelbagai jenis penyakit baru ditemui seperti virus HIV yang menyebabkan AIDS, Japanese Ensephalitis (JE) dan Influenza A (H1N1).

“Orang dahulu buat maksiat dapat wabak taun dan hari ini kita (dunia) dapat wabak H1N1 dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Menurutnya, penularan wabak tersebut semakin serius dan negara Malaysia antara yang teruk dilanda H1N1 dengan angka kematian 44 kes.

Katanya, umat Islam tidak boleh mengatasi penyakit tersebut jika tidak kembali kepada ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

sumber: BuletinOnline
read more...

Perlunya kuasa melalui politik

KUALA NERUS - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata menjadi tanggungjawab serta kewajipan kepada PAS mendapatkan kuasa melalui politik untuk mentadbir bagi menyelamatkan negara Malaysia.

Menurutnya, kuasa memerintah negara hanya boleh diperolehi dengan politik melalui pilihan raya dalam amalan demokrasi.

Katanya, PAS sebagai sebuah parti Islam mempunyai tanggungjawab yang besar melalui dakwah, tarbiyah dan politik.

“Kita (PAS) ada tanggungjawab pertama melalui misi dakwah untuk membuat perkara ma’aruf dan cegah perkara mungkar.

“Kedua, melalui tarbiyah untuk kita (PAS) melatih dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan.

“Ketiga, kita (PAS) berpolitik untuk mendapatkan kuasa memerintah negara mengikut acuan dan kehendak Allah SWT,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Penerangan Isu Semasa di Kampung Pagar Ubi, Tepoh, pada 12 Ogos lalu.

Katanya, melalui politik PAS dan Pakatan Rakyat boleh menerajui negeri dan negara dengan lebih baik dan selamat berbanding Umno-BN.

Selain itu, Mohd Abdul Wahid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu menegaskan PAS tidak tunduk atau dikawal oleh Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP dalam pakatan tersebut.

Menurutnya, gabungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat masih utuh serta tidak berlaku sebarang masalah yang membawa kepada perpecahan.

“Kita (PAS) terkawal dan tidak tunduk kepada
KeADILan dan DAP. Gabungan kita (PAS) dalam pakatan Rakyat bersama dengan KeADILan dan DAP masih utuh.

“Perbezaan pendapat yang berlaku mematangkan Pakatan Rakyat dan tidak membawa kepada perpecahan,” tegasnya.

Kata beliau, gabungan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya yang bermasalah kerana hilang kepercayaan rakyat dan pengundi.

read more...

Wednesday, August 5, 2009

Program "Jom Bersama Pemuda"


Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus akan menganjurkan program sebagaimana iklan di atas.
read more...

Saturday, July 4, 2009

Ulama' sebagai paksi atau tunjang

KUALA NERUS: Ulama' adalah sebagai paksi atau tunjang dalam perjuangan untuk menegakkan masyarakat dan pemerintahan Islam.

"Ulama' juga bertanggungjawab melaksanakan hukum dan nilai-nilai Islam, juga dalam mempertahankan kesucian Islam," ujar Setiausaha Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ismail Osman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas "Memahami dan Menghayati Perlembagaan PAS (Pindaan 2007)" dalam program Himpunan dan Taklimat Khas Ulama' PAS Kawasan Kuala Nerus.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Ulama' PAS Negeri dengan kerjasama Urusan Ulama' PAS Kawasan itu diadakan di Madrasah Dar at-Taqwa, Batu Enam dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Ustaz Ismail turut menyebut bahawa ulama' turut berperanan dalam tugas-tugas dakwah serta memastikan akidah dan syariah sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

"Ulama' juga berperanan menjadikan budaya negara berteraskan Islam," tegas beliau lagi.

Program himpunan itu telah dimulai dengan khutbah Jumaat di tiga buah masjid di kawasan ini, iaitu Masjid Taqwa Batu Enam, Masjid Pulau Ketam dan Masjid Sungai Ikan. Khatib tamu yang menyampaikan khutbah tersebut ialah Ustaz Ismail Osman, Ustaz Nik Muhammad Nasri Malek dan Dato' Dr Abdullah Abu Bakar.

Program itu diakhiri dengan kuliah Maghrib di Masjid Pulau Ketam dan Masjid Kampung Batin yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Osman dan Ustaz Nik Muhammad Nasri Malek.
read more...

Wednesday, July 1, 2009

Pengumuman

Ceramah Umum Isu Semasa

Tarikh : 4hb JUlai 2009 ( Sabtu )
Jam : 9.30 mlm
Tempat : Kg Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu
Oleh : YB Ust Hj Wan Hassan Mohd Ramli, YB Mohd Zaki Ibrahim dan Ust Hj Ismail Mamat
read more...

Islam Memimpin Perubahan

Marilah sama-sama kita baca dan hayati separa ucapan dasar Presiden dan amalkan dalam setiap diri kita

" Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa PAS dianggotai oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan dan lain-lainnya. Sesetengahnya pula menerima didikan awal dari pelbagai organisasi dakwah, dan ada yang tidak mempunyai latar belakang tarbiyah Islam langsung. Itulah hakikat kerencaman ahli dalam parti kita. Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiyah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi Usrah dipelbagai peringkat perlulah diperkukuhkan, untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan Islam yang kita bawa. " ( Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS 55 )

Kepada anda sila beri komen hujahan ilmiah untuk memantapkan individu dan jamaah




read more...

Lawatan Ketua Penerangan Pas Pusat

InsyaAllah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Hj Idris Ahmad akan turun padang ke Kawasan Kuala Nerus pada 3hb Julai 2009. Pas Kawasan Kuala Nerus telah mengaturkan beberapa aktiviti bagi memeriahkan majlis tersebut. Antara program yang akan dilaksanakan bersama ketua penerangan adalah Sebaran Dakwah di Pasar, Kuliah Maghrib dan seterusnya ceramah perdana di Dun Bukit Tunggal. Untuk maklumat lanjut akan dimaklumkan semula.
read more...

Tuesday, June 2, 2009

Sedia hiburan halal untuk umat Islam - Jamil Khir

Senda Perli

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Islam di negara ini diminta supaya bersikap lebih kreatif untuk menyediakan pelbagai hiburan yang halal dari segi agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, langkah itu penting bagi memastikan umat Islam mempunyai alternatif untuk menghiburkan diri mereka.

''Umat Islam khususnya generasi muda kini banyak terpengaruh dengan konsert hiburan yang melalaikan kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain untuk berhibur," katanya.

Tahniah Jamil Khir. Belajar-belajar nak tunjuk taring agaknya........ Itulah visinya bersemangat sekali... maklumlah orang baru kahwin dapat bini baru .... kononnya.... kenapalah dok tuju kat NGO je tu.... Tujulah kat Rais Yatim tu ( Pakar Bakar Jambatan )..... Hiburan apa yang dibuat kat TV dan Radio tu....

Bila nak tegur Rais pulak...... kot-kot program hiburan kat TV tu dah islamik kot..... Mungkin jugak ya...... Macam-macam ada....

Tapi apakan daya... kalu ditengok misai tu macam harimau di hutan...... betul ke tu..... kita tengoklah nanti.............. jangan jadi harimau sarkas sudahlah...........
read more...

18 ADUN BN Terengganu

Sembang2 Kedai Kopi

Kegawatan dalaman UMNO makin terselah apabila geng 18 mula didakwa akan menunjukkan sikap dingin dan tidak percaya kepada kepimpinan Ahmad Said. Mereka mendakwa Pengerusi Baru UMNO Terengganu tidak mampu menyelesaikan kemelut ini.

Kalau dilihat inilah sikap sebenar pemimpin UMNO yang sebenar yang bercakap tentang bersatu dan perpaduan, rupa-rupanya rumahtangga sendiri yang bercerai berai dan bergaduh sama sendiri angakara kejar mengejar dunia semata-mata.

Kata-kata pendekar Tepuh " Tepuk dada tanya iman" . Ini kerana kalau ditanya iman, perjuangan mereka adalah perjuangan Kebangsaan . Memang terbukti mereka ini sebenarnya tidaklah berada diatas ukhuwah islam tetapi sebenarnya atas dasar jahiliyyah dan assobiyyah yang nyata bersuluh. Ini kerana ciri-ciri Assobiyyah ialah rasa tidak puas hati sesama sendiri, gilakan kuasa, gilakan harta, zalim, khianat........

Ini merupakan hadiah dari Allah kepada PAS Terengganu. Oleh itu marilah sama-sama kita meneruskan perjuangan suci ini. Marilah bersama-sama kita bersama kepimpinan ulamak.
read more...

Sunday, May 31, 2009

YB Tepoh Gembira Dalam Sedih

Dari : Sembang2 Kedai Kopi

Berkatalah pendekar dari Keris Telanjang sebilah dari Tepoh "Walau apa2 pun, setiap anggota kepimpinan UMNO agar bersatu padu demi perpaduan parti. Yang lebih penting, perjuangan parti harus diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi masing-masing. Saya juga diajukan soalan berkaitan dengan kepimpinan MB sekarang. Cuma, saya tidak ada idea untuk memberi komen dan berserah kepada penilaian masing-masing. Saya tidak layak untuk memberi komen berkaitan soalan sedemikian"

Bunyinya pelik je. Kesian kat MB Trg sekarang ni, semua YB-YB Kering Telanjang Sebilah semua pertikai kepimpinan MB. Sehingga seronok lagi Pendekar Tepoh Keris Telanjang Sebilah berkata "Saya menyambut baik ...... Presiden UMNO melantik Pendekar PDS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu (PBPUT) yang baru setelah kemelut demi kemelut UMNO Terengganu. Saya yakin tindakan Presiden UMNO adalah tindakan yang tepat dan bijaksana bagi memulihkan kemelut kepimpinan UMNO Terengganu kembali pulih. Tetapi, persoalan yang bermain difikiran anggota pucuk pimpinan parti iaitu " Adakah dikalangan pemimpin UMNO Terengganu tidak layak untuk menjawat jawatan tersebut?" tepuk dada, tanya iman."

Ini jelas nampak ketidaksukaanya Tepoh kepada Mat Said berada dalam Keris Telanjang Sebilah mentadbir Terengganu. UMNO keris telanjang nampaknya sekarang ni kian sakit yang tidak terubat lagi..
read more...

Friday, May 29, 2009

25 Tahun Di Bawah Kepimpinan Ulamak

Alhamdulillah, sudah 25 tahun PAS diterajui oleh kepimpinan ulamak dalam mendepani suasana politik Malaysia yang semakin mencelaru dan haru biru.

Ulamak kita sebagai nakhoda yang membawa kapal bernama PAS berjaya mengharungi tsunami politik yang tenat dengan peta yang bernama Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW.



Susah senang, suka duka ulamak kita berusaha membawa obor Islam yang akan menyinari bumi Malaysia yang penuh dengan kegelapan ideologi buatan manusia yang mengaburi mata penghuni bumi Malaysia tentang Islam. Mereka ini tidak pernah mengenal erti penat lelah membawa risalah peninggalan Rasul saw. Jangan kita pandang remeh peranan ulamak setelah kita berjaya, jangan kita perlekehkan peranan ulamak kerana golongan ulamak inilah yang telah banyak dan berjaya membuka madrasah-madrasah, pusat-pusat tarbiyyah, sekolah agama berbanding dengan golongan lain.


Marilah sama-sama kita mempertahan kepimpinan ulamak dalam membawa obor Islam di bumi Malaysia. Jangan kita leka dan lalai dengan serangan musuh-musuh yang membencikan Islam dan ulama.
read more...

Tazkirah Jumaat

Keciciran Individu Dalam Jamaah
Takut berlaku sesuatu keatas diri dan rezeki

Gejala ini akan menular setiap individu dalam gerakan jika ia tidak dibendung dengan iman dan taqwa. Di sini syaitan akan memainkan peranannya menghalang orang-orang mukmin bekerja dalam dakwah dengan menakut-nakutkan individu tentang masa depan, rezeki dan sebagainya. Sebab itu individu hendaklah sentiasa menyertakan kesabaran dan taqwa bersama dirinya dalam mengharungi fitnah ini.

Kita dapati ramai individu dalam jamaah pada peringkat awalnya hebat, tetapi apabila diberi sedikit ujian dengan gangguan rezeki, kemiskinan, ugutan, tekanan, pangkat, anak, isteri, keluarga dan sebagainya, menyebabkan dia semakin hari semakin menjauhkan diri dengan jamaah dan sentiasa memberi alasan yang tidak menusabah.

Sebab itu Allah SWT telah menyebut di dalam firmanNya yang bermaksud :
" Jika kamu memperolehi kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa nescaya tipudaya mereka sedikitpun tidak mendatangkan menudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan." ( Ali Imran : 120 )

" Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan kamu dengan kawan-kawannya, kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tapi takutlah kepadaKU, jika kamu benar-benr orang-orang yang beriman." ( Ali Imran : 175 )

Bagi mengelakkan keciciran ini, Allahlah tempat yang mesti kita bergantung kepadaNya kerana semuanya adalah milik Allah dan Dialah yang memberikan segala-galanya kepada kita. Kita ambilah pengiktibaran kisah-kisah para nabi dan sabahat nabi yang berpegang teguh dengan janji Allah dan akhirnya kita lihat mereka berjaya mengharunginya dan diberi kemenangan oleh Allah sehingga hari ini kita dapat mengecapinya hingga hari ini.

Marilahlah sama-sama kita bangunkan diri kita dan jamaah kita bersama iman dan taqwa.
read more...

Thursday, May 28, 2009

Program PAS Bersama Rakyat

1. Program Khidmat Masyarakat Pemuda - PAS DUN Tepuh
Gotong-royong bersih kubur
Tempat : Tanah Perkuburan Taman Permint Makmur Wakaf Tembesu
Tarikh : 29 Jun 2009 ( Jumaat )
Masa : 8.00 pagi

2. Program Khidmat Masyarakat Pemuda - PAS DUN Bukit Tunggal
Gotong royong Bersih Kubur
Tempat : Tanah Perkuburan Bukit Tunggal
Tarikh : 29 Jun 2009 ( Jumaat )
Masa : 8.00 pagi
read more...

Pengumuman Ceramah Umum

Ceramah Umum Isu Semasa
Tarikh : 29 Mei 2009 ( Jumaat)
Masa : Selepas Isyak
Tempat : Perumahan Permint Makmur Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu
Penceramah : YB Che Abdullah Nawi, Ust Nasaruddin Hassan Tantawi, Ust Abu Bakar Abdullah
read more...

SELAMAT BERMUKTAMAR

PAS akan mengadakan Muktamar Tahunan Ke-55 dan pemilihan jawatankuasa baru bagi sesi 2009/2011. Pemilihan JK baru ini ada di tangan perwakilan. Jadilah perwakilan yang bijak dalam meneruskan perjuangan PAS di bawah kepimpinan ulama'. Muktamar kali ini akan berlangsung di Negeri Selangor bermula 4 Jun - 7 Jun 2009.

PAS Kawasan Kuala Nerus akan menghantar enam orang perwakilan yang terdiri daripada Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan.

Perwakilan tersebut telah dipilih dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Kawasan setelah mendapat mandat dari Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32 PAS PAS Kuala Nerus baru-baru ini.
read more...