Saturday, July 4, 2009

Ulama' sebagai paksi atau tunjang

KUALA NERUS: Ulama' adalah sebagai paksi atau tunjang dalam perjuangan untuk menegakkan masyarakat dan pemerintahan Islam.

"Ulama' juga bertanggungjawab melaksanakan hukum dan nilai-nilai Islam, juga dalam mempertahankan kesucian Islam," ujar Setiausaha Dewan Ulama' PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ismail Osman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas "Memahami dan Menghayati Perlembagaan PAS (Pindaan 2007)" dalam program Himpunan dan Taklimat Khas Ulama' PAS Kawasan Kuala Nerus.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Ulama' PAS Negeri dengan kerjasama Urusan Ulama' PAS Kawasan itu diadakan di Madrasah Dar at-Taqwa, Batu Enam dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Ustaz Ismail turut menyebut bahawa ulama' turut berperanan dalam tugas-tugas dakwah serta memastikan akidah dan syariah sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

"Ulama' juga berperanan menjadikan budaya negara berteraskan Islam," tegas beliau lagi.

Program himpunan itu telah dimulai dengan khutbah Jumaat di tiga buah masjid di kawasan ini, iaitu Masjid Taqwa Batu Enam, Masjid Pulau Ketam dan Masjid Sungai Ikan. Khatib tamu yang menyampaikan khutbah tersebut ialah Ustaz Ismail Osman, Ustaz Nik Muhammad Nasri Malek dan Dato' Dr Abdullah Abu Bakar.

Program itu diakhiri dengan kuliah Maghrib di Masjid Pulau Ketam dan Masjid Kampung Batin yang disampaikan oleh Ustaz Ismail Osman dan Ustaz Nik Muhammad Nasri Malek.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Ulama' sebagai paksi atau tunjang"

Post a Comment