Wednesday, November 18, 2009

PAS bantu mangsa kebakaran

Ustaz Abu Bakar (kiri sekali) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad

KUALA NERUS - PAS Kawasan Kuala Nerus hari ini tampil membantu mangsa kebakaran di Kampung Kelab Aya, Pulau Duyung Besar.

Dalam kejadian pada tengah hari Isnin lalu, rumah kayu milik Mohamad Omar, 57, musnah dijilat api dan hanya tinggal sehelai sepinggang. Anggaran kerugian ditaksirkan sejumlah RM150,000. Ia termasuk empat buah motosikal dan tiga mesin jahit yang baru dibeli.

Mohamad yang juga Naib Ketua PAS Cawangan Kelab Aya adalah seorang peniaga kedai runcit di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

Rumah itu didiami oleh 14 penghuni termasuk seorang warga emas yang juga kepada Mohamad, Omar Jusoh, 86. Beliau yang dalam keadaan uzur berjaya diselamatkan ketika kejadian.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah bersama Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Dr Alias Razak yang juga ADUN Bukit Tunggal, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Zakaria Dagang dan Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Kawasan, Syed Ibrahim Syed Husin melawat mangsa kebakaran di Kg Kelab Aya pada petang tadi (Rabu).

Ustaz Abu Bakar yang juga Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Negeri Terengganu turut menyampaikan sedikit sumbangan yang berjaya dikumpul setakat ini.

Sumbangan boleh terus dihulurkan melalui akaun:
Bank: RHB
No Akaun: 16301500042440
Nama: Alias Nor Ismail (menantu mangsa)

Berita berkaitan: PAS Cawangan Kg Banggol Pauh

read more...

Monday, November 16, 2009

Sejarah PAS Kawasan Kuala Nerus


Latar belakang penubuhan

PAS Kawasan Kuala Nerus telah ditubuhkan pada tahun 1959 dengan nama PAS Cawangan Kuala Terengganu Utara. Sebelum penubuhannya, kawasan ini adalah sebahagian daripada Kawasan Kuala Terengganu yang ditubuhkan lebih awal iaitu pada tahun 1956.

PAS Kawasan Kuala Terengganu pada asalnya mengandungi dua kawasan parlimen, iaitu Kuala Terengganu Selatan dan Kuala Terengganu Utara. Ia meliputi lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Batu Rakit, Kuala Nerus, Jeram, Langkap, Bandar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Burok.

Setelah mendapat mandat daripada ahli-ahlinya, PAS Kawasan Kuala Terengganu dipecahkan kepada dua kawasan iaitu Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan selaras dengan dua kawasan parlimen. DUN pula dibahagikan mengikut kedudukan kawasan parlimen iaitu Batu Rakit, Kuala Nerus, Jeram dan Langkap diletakkan dalam Kawasan Kuala Terengganu Utara , sementara DUN Bandar, Ladang, Bukit Besar dan Batu Burok dimasukkan ke dalam Kawasan Kuala Terengganu Selatan.

Beberapa perubahan berlaku di Kawasan Kuala Terengganu Utara ekoran persempadanan baru sebelum pilihan raya umum tahun 1974. Kawasan Parlimen ditukar nama kepada Parlimen Kuala Nerus. DUN Jeram dikekalkan. DUN Kuala Nerus ditukar nama kepada DUN Seberang Takir, tetapi dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam Parlimen Hulu Nerus. Sementara DUN Bukit Tunggal diwujudkan, manakala DUN Manir dan DUN Bukit Payong pula dimasukkan ke dalam Kawasan Kuala Nerus.

Pada tahun 1985 sekali lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persempadanan baru. DUN Seberang Takir dimasukkan semula ke dalam Kawasan Kuala Nerus. DUN Jeram dimansuhkan, manakala DUN Tepoh dan DUN Telok Pasu diwujudkan. Tiga DUN itu beserta DUN Bukit Tunggal membentuk kawasan Kuala Nerus yang baru. Dua lagi DUN, iaitu DUN Manir dan DUN Bukit Payong masing-masing dimasukkan ke dalam Kawasan Hulu Terengganu dan Kawasan Marang.

Pejabat pertamanya ialah sebuah rumah sewa di Kampung Padang Air (rumah Ibrahim Ariffin) sebelum berpindah ke Batu Enam dan terus beroperasi di pekan itu sehingga sekarang.

Pemimpin PAS Kawasan

Sejak ditubuhkan pada tahun 1959 sehingga sekarang (2009), PAS Kawasan dipimpin oleh Yang Dipertuanya sebagaimana berikut:-

Pertama: Haji Ismail bin Abas (1959 – 1969) Beliau ialah seorang ahli perniagaan. Beliau menyertai PAS setelah memenangi Pilihan Raya Umum 1959 bagi DUN Langkap atas tiket Parti Negara. Kerajaan PAS melantik beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Pada Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969, beliau bertanding sebagai calon PAS di DUN Langkap, tetapi tewas kepada Abdul Rahman Long (calon Parti Perikatan). Pada Pilihan Raya Umum 1974, Haji Ismail bertanding sebagai calon Bebas di DUN Jeram kerana tidak bersetuju dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional.

Kedua: Haji Hashim bin Embong (1969 – 1971)
Beliau merupakan seorang ahli perniagaan. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1937 pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus yang pertama sebelum dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan menggantikan Haji Ismail Abas. Beliau pernah dipilih sebagai ADUN Kawasan Jeram pada tahun 1969 setelah mengalahkan calon Perikatan, Abd Rashid Mohammad dengan majoriti 49 undi. Pada Pilihan Raya Umum 1978, beliau sekali lagi bertanding dalam kawasan yang sama, tetapi tewas di tangan Abd Rashid dengan majoriti 23 undi. Beliau meninggal dunia pada tanggal 7 Oktober 2006.

Ketiga: Ustaz Haji Awang bin Abu Bakar (1971 – 2001)
Beliau merupakan seorang ulama’ yang lantang. Lulusan Universiti Deoband di India dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Beliau merupakan menantu kepada Tuan Guru Haji Abas Mohammad, seorang ulama’ dan pengasas Pondok Tok Jiring. Buat pertama kalinya dicalonkan dalam pilihan raya bagi DUN Kuala Nerus pada tahun 1969, tetapi tewas di tangan Ibrahim Fikri Mohamad (Perikatan) dengan majoriti 320 undi.

Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Batu Rakit pada 21 Ogos 1971, beliau dicalonkan menentang calon Perikatan, Dato’ Nik Hassan Abd Rahman, tetapi tewas.
Ketika PAS dalam Barisan Nasional beliau diamanahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1974 bagi DUN Jeram dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan dua calon Bebas dengan kelebihan undi sebanyak 983. Kemudian beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau seterusnya dicalonkan dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 1978 dan 1982 (DUN Bukit Tunggal), 1986 (DUN Seberang Takir) dan 1990 (DUN Teluk Pasu), tetapi semuanya tewas di tangan calon Barisan Nasional.

Beliau telah dianugerahkan Tokoh PAS sempena Sambutan Jubli Emas PAS Malaysia peringkat Negeri Terengganu pada 17 & 18 Ogos 2001. Pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-24 pada tahun 2001 beliau menarik diri daripada bertanding kerana uzur, setelah memimpin PAS Kawasan Kuala Nerus selama 30 tahun.

Keempat: Ustaz Haji Abu Bakar bin Abdullah (2001 – sekarang)
Beliau adalah lulusan syariah dan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1983. Pernah ditahan oleh pihak polis dalam demonstrasi pelajar di universiti pada 3 Disember 1974 dan ditempatkan dalam kem tahanan di Jalan Gurney, Kuala Lumpur selama dua hari satu malam bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor (Almarhum), bekas Presiden PAS dan pemimpin pelajar yang lain.

Beliau juga adalah pengasas Institut Berakan, sebuah sekolah menengah swasta di Kuala Terengganu dan Madrasah Darul Taqwa, sebuah sekolah rendah Islam di Batu Enam. Beliau pernah diamanahkan sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat di bawah kepimpinan dua orang ketua, iaitu Ustaz Abdul Halim Arshad dan Ustaz Abu Bakar Chik. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia yang pertama dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bagi tahun 1991 – 1993.

Dipilih menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum pada 1986 dan 1990 bagi DUN Tepuh, tetapi tewas di tangan calon Barisan Nasional. Dalam dua pilihan raya berikutnya, iaitu 1995 dan 1999, beliau berjaya memenangi kerusi yang sama. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Sosial dan Kesihatan Negeri pada 1999 hingga 2004. Dalam Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 beliau tewas di tangan calon Barisan Nasional bagi kerusi DUN Tepuh.

Beliau telah dianugerahkan Tokoh Pemuda PAS sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS peringkat Negeri Terengganu pada 6 – 9 Ogos 2003 dan Tokoh PASTI Negeri Terengganu sempena Sambutan Jubli Perak PASTI Terengganu pada 22 – 24 Oktober 2009.

Setiausaha-Setiausaha PAS Kawasan

Pertama: Cikgu Haji Mustafa bin Mohd Zain (1959 – 1967)
Kedua: Syed Shafie bin Tuan Baharu (1967 – 1969)
Ketiga: Abd Rahim bin Abd Rahman (1969 – 1977)
Keempat: Haji Mokhtar bin Haji Mohd (1977 – 1979)
Kelima: Ustaz Haji Abidin bin Embong (1979 – 1981)
Keenam: Mohamad bin Haji Abdullah (1981 – 1983)
Ketujuh: Cikgu Hussin bin Ismail (1983 – 1985)
Kelapan: Ustaz Abu Bakar bin Abdullah (1985 – 2001)
Kesembilan: Zakaria bin Dagang (2001 – 2009)
Kesepuluh: Tuan Chik bin Tuan Muda (2009 – sekarang)

Ketua-Ketua Dewan Pemuda

Pertama: Haji Hashim bin Embong (1959 – 1969)
Kedua: Haji Ahmad bin Muda (1969 – 1975)
Ketiga: Ustaz Haji Abidin bin Embong (1975 – 1977)
Keempat: Ustaz Abu Bakar bin Chik (1977 – 1985)
Kelima: Ustaz Haji Nik Kamaruddin bin Ibrahim (pemangku) (1984 – 1985)
Keenam: Ustaz Haji Mahmood bin Sulaiman (1985 – 1991)
Ketujuh: Zakaria bin Dagang (1991 – 2001)
Kelapan: Mohd Nordin bin Mahmood (2001 – 2003)
Kesembilan: Ustaz Haji Ahmad Bukhori bin Ghazali (2003 – 2007)
Kesepuluh: Ustaz Ridzuan bin Haji Hashim (2007 – sekarang)

Ketua-Ketua Dewan Muslimat

Pertama: Hajah Tengku Mandak binti Embong (1959 – 1969)
Kedua: Ustazah Hajah Rokiah binti Haji Abas (1969 – 1993)
Ketiga: Ustazah Hajah Tengku Aminah binti Tengku Alias (1993 – sekarang)

Ketua-Ketua Urusan Ulama’

Pertama: Ustaz Haji Ismail bin Haji Mamat (2001 – 2009)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Che Dagang (2009 – sekarang)

Pengerusi/Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD)

Tepuh:
Pertama: Ustaz Haji Abu Bakar bin Abdullah (1985 – sekarang)

Teluk Pasu:
Pertama: Haji Hashim bin Embong (1985 –1999)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Mamat (1999 – 2007)
Ketiga: Tuan Chik bin Tuan Muda (2007 – 2009)
Keempat: Ustaz Haji Ismail bin Mamat (2009 – sekarang)

Seberang Takir:
Pertama: Abdullah bin Salleh (1985 – 1987)
Kedua: Ustaz Haji Ismail bin Che Dagang (1987 – 1995)
Ketiga: Ustaz Yusof bin Abu Bakar (1995 – 1997)
Keempat: Zakaria bin Dagang (1997 – sekarang)

Bukit Tunggal
Pertama: Ustaz Haji Rashid bin Omar (1985 – 1989)
Kedua: Haji Harun bin Salleh (1989 – 1993)
Ketiga: Dr Haji Alias bin Razak (1993 – sekarang)

Penyertaan PAS Kawasan dalam pilihan raya PAS Kawasan Kuala Nerus mula menyertai pilihan raya pada tahun 1959. Dua orang calonnya telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut. Mereka ialah Ustaz Ahmad Azzam bin Hanafiah, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu di kerusi DUN Jeram dan Ustaz Haji Hassan Adli bin Haji Arshad bagi Parlimen Kuala Terengganu Utara. PAS Kawasan mendapat satu kerusi bonus apabila Haji Ismail bin Abas, calon Parti Negara yang memenangi kerusi DUN Langkap menyertai PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum 1964, PAS Kawasan gagal mendapat sebarang kerusi DUN dan Parlimen. Pilihan raya umum tahun 1969, PAS Kawasan memenangi satu kerusi DUN, iaitu Jeram menerusi calonnya, Haji Hashim bin Embong.

Pilihan Raya Kecil DUN Batu Rakit tahun 1971 diadakan apabila kerusi itu dikosongkan oleh ADUN Perikatan, Dato’ Mansor Mohamad. PAS menerusi calonnya, Ustaz Awang Abu Bakar gagal merebut kerusi tersebut apabila tewas di tangan calon Perikatan, Nik Hassan Abd Rahman. Nik Hassan dicalonkan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Encik Mahmood Sulaiman.

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, PAS memenangi kerusi-kerusi DUN Jeram dan DUN Bukit Payung menerusi calon-calonnya Ustaz Awang Abu Bakar dan Haji Mokhtar Haji Mohd yang bertanding atas tiket Barisan Nasional. Dalam Pilihan Raya Umum 1978, PAS gagal mendapat sebarang kerusi, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen di seluruh negeri Terengganu.
PAS Kawasan Kuala Nerus bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum 1982 apabila memenangi dua kerusi DUN menerusi calon-calonnya, Ustaz Abu Bakar Chik (Jeram) dan Ustaz Harun Taib (Manir).

Kemenangan itu gagal dipertahankan pada Pilihan Raya Umum 1986 apabila PAS gagal mendapat sebarang kerusi. Kegagalan itu terubat menerusi Pilihan Raya Kecil DUN Teluk Pasu pada tahun 1989. PAS menang menerusi calonnya, Ustaz Harun Taib yang mengalahkan calon Barisan Nasional, Haji Abd Rahman Mohamad dengan kelebihan 141 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990, PAS menyertainya bersama dengan Parti Semangat 46 dalam gagasan Angkatan Perpaduan Ummah. Walaupun PAS gagal mendapat sebarang kerusi DUN atau Parlimen, rakan gabungannya, Semangat 46 berjaya menawan DUN Bukit Tunggal.
Kekecewaan itu terubat menerusi Pilihan Raya Umum 1995, apabila dua DUN ditawan, iaitu Tepuh dan Teluk Pasu. Di DUN Tepuh, calon PAS ialah Ustaz Abu Bakar Abdullah dan DUN Teluk Pasu pula Ustaz Ismail Mamat.

Pilihan Raya Umum 1999 menyaksikan pencapaian paling cemerlang PAS Kawasan Kuala Nerus. Ia memenangi tiga kerusi DUN menerusi calon-calonnya, Ustaz Abu Bakar Abdullah (Tepuh), Ustaz Ismail Mamat (Teluk Pasu) dan Dr Alias Razak (Bukit Tunggal). Manakala kerusi Parlimen turut ditawan menerusi calonnya, M. Shukrimun Shamsudin.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, PAS Kawasan gagal memenangi sebarang kerusi, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Sementara dalam Pilihan Raya Umum 2008, PAS berjaya menawan kembali DUN Bukit Tunggal melalui calonnya, Dr Alias Razak.

Tribulasi perjuangan

PAS Kawasan Kuala Nerus tidak banyak menghadapi krisis dalaman. Cuma sekali sahaja berlaku kekecohan akibat daripada perebutan jawatan pimpinan tertinggi Kawasan pada tahun 1969 yang berakhir dengan penggantungannya.

Kekecohan tersebut berlaku ketika diadakan mesyuarat agung pemilihan parti, apabila jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan dikosongkan oleh Haji Ismail Abas. Perselisihan berlaku antara para penyokong Setiausaha PAS Kawasan ketika itu, Syed Shafie Tuan Baharu yang ingin bertanding merebut jawatan itu dengan penyokong seorang lagi calon, Ustaz Awang Abu Bakar. Penyokong Ustaz Awang dihalang daripada menyertai mesyuarat agung tersebut. Akibatnya mesyuarat agung tersebut dibatalkan dan pucuk pimpinan parti menggantung keahlian Syed Shafie Tuan Baharu dan menggantung PAS Kawasan Kuala Nerus.

Beberapa peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku dalam siri perjuangan PAS Kawasan, terutama akibat tindakan kerajaan Umno / Perikatan / Barisan Nasional.

Pertama: Program PAS terutamanya ceramah diganggu dengan menggunakan Pemuda Tahan Lasak Umno sekitar tahun 1960an hingga 1970an dan 1980an.

Kedua: Penangkapan dan penahanan Ustaz Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Pemuda yang ketiga di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun di Kem Kemunting, Perak. Ia berlaku pada 12 Jun 1984, jam 1.00 pagi di rumahnya di Kampung Tok Jiring. Semasa dalam tahanan beliau dicalonkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus menentang calon Barisan Nasional, Haji Ibrahim Azmi Hassan, tetapi tewas dengan majoriti 7,926 undi.

Ketiga:
Pada hari Jumaat 26 Ogos 2005, Ceramah Isu Dewan Undangan Negeri di Masjid Taqwa, Batu Enam diganggu pasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Mereka melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air berasid menyebabkan orang ramai bertindak balas. Beberapa orang awam ditahan reman. Beberapa pemimpin PAS Negeri dan Kawasan turut dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat.

Pemimpin PAS Negeri berkenaan yang hadir ialah Dato’ Haji Harun Taib dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut. Sementara Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Dato’ Haji Wan Abd Muttalib Embong tidak hadir. Pemimpin PAS Kawasan pula ialah Ustaz Haji Ismail Che Dagang (Timbalan Yang Dipertua), Zakaria Dagang (Setiausaha) dan Dr Haji Alias Razak (Ketua Penerangan). Orang awam yang direman antaranya ialah Cikgu Haji Mohamad Husin, Mukhtar Abd Rahman, Anuar Yusof, Mohd Sazuwan Othman, Mohd Zul Ali, Mohd Rafi dan Adnan Haji Jusoh.

PAS Kawasan bersama masyarakat

PAS Kawasan Kuala Nerus bukan sahaja sebagai sebuah parti politik Islam, tetapi sebagai gerakan Islam yang bertanggungjawab menegakkan pemerintahan dan negara Islam bagi memenuhi tuntutan Islam sebagai ad-Din. Di samping gerak kerja politik dan pilihan raya, PAS Kawasan juga menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan dan lain-lain.
Dalam bidang pendidikan, PAS Kawasan telah menubuhkan institusi pendidikan formal seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di peringkat prasekolah dan Darul Taqwa (sekolah rendah). Manakala di peringkat menengah belum ditubuhkan lagi. Namun demikian, sebuah institusi pendidikan Islam ditubuhkan oleh pemimpin PAS dalam Kawasan Kuala Nerus iaitu Ma’ahad at-Tahfiz wal-Tarbiyah Darul Iman, Tok Jiring. Di samping itu, markas-markas tarbiyah ditubuhkan dan dijadikan sebagai pusat pendidikan dan pengajian masyarakat sepanjang hayat (long life education) secara informal.

Dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan, PAS Kawasan terus meningkatkan aktivitinya dengan menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN. Aktiviti ini dijalankan sepanjang masa di tengah-tengah masyarakat dalam kawasan Kuala Nerus. Bagi memastikan aktiviti kebajikan berjalan dengan baik dan lancar, maka PAS Kawasan menubuhkan pasukan khidmat sukarela dan lain-lain lagi.

Cawangan dan Ahli PAS

Rekod awal berhubung dengan Cawangan-Cawangan (dulu dikenali sebagai Ranting) PAS di Kawasan ini tidak diperolehi. Bagaimanapun, mengikut rekod pendaftaran Cawangan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, antara Cawangan-Cawangan awal yang ditubuhkan di Kawasan ini ialah Kuala Belara, Banggol Peradong, Teluk Pasu, Jeram, Petaling, Tanjong Gelam, Buloh Gading, Tanjong Bunut, Bukit Tumboh dan Kedai Tepoh.

Sehingga tahun 2009, setelah 50 tahun umur PAS Kawasan Kuala Nerus, Cawangan yang berdaftar di Kawasan ini ialah 86 buah.

Begitu juga dengan rekod keahlian berdaftar di Kawasan ini. Data lengkap hanya diperolehi bermula tahun 1993. Sehingga tahun 2009, jumlah ahli dalam rekod PAS Kawasan Kuala Nerus ialah seramai 9,272.

Penutup

Bagi Sesi 2009/2011, PAS Kawasan Kuala Nerus ditadbir oleh 36 orang Ahli Jawatankuasa diketuai oleh Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah merangkumi 86 buah Cawangan dan 10,081 orang ahli.

Dewan Pemuda pula mempunyai 23 orang ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Ustaz Ridzuan Haji Hashim. Manakala Dewan Muslimat jua mempunyai 23 orang ahli jawatankuasa yang diketuai oleh Ustazah Hajah Tengku Aminah Tengku Alias, dan Urusan Ulama’ dipimpin seramai 20 orang ahli jawatankuasa diketuai oleh Ustaz Haji Ismail Che Dagang.
read more...

Wednesday, November 11, 2009

Aturcara Sambutan Jubli Emas PAS Kuala Nerus


Aturcara penuh Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kuala Nerus:

read more...

Sunday, November 1, 2009

Kuala Nerus johan pidato HIMPIT

Abdul 'Alim dan Nasih Ulwan dengan hadiah masing-masing

KEMAMAN: Wakil Kuala Nerus, Abdul 'Alim Zakaria telah muncul sebagai johan dalam Pidato Politik sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Kemaman Jumaat lepas.

Beliau yang menyampaikan pidato dengan tajuk "Peranan Pemuda" telah mengalahkan tujuh peserta lain yang mewakili setiap Kawasan dalam negeri ini.

Selain itu, wakil Kuala Nerus juga berjaya mendapat tempat ketiga dalam Karaoke Nasyid dalam majlis sama. Muhammad Nasih Ulwan Zakaria yang mengalunkan lagu "Menanti Di Barzakh" yang dipopularkan oleh Kumpulan Far East mendapat tempat ketiga daripada 18 orang peserta pertandingan itu.

Sementara itu, dalam Pertandingan Classic Motor Show, Kuala Nerus menduduki tempat kedua. Pasukan sepak raga bulatan Kuala Nerus pula mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang dilangsungkan dalam HIMPIT itu.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu yang turut merasmikan majlis penutup HIMPIT.
read more...