Friday, August 14, 2009

Maksiat punca wabak H1N1

KUALA NERUS - Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata maksiat yang berleluasa, tidak terkawal yang berlaku dalam negara ini menyebabkan Selsema Babi kini menjadi satu wabak merbahaya.

Katanya, pelbagai jenis penyakit berjangkit yang belum pernah wujud selama ini merupakan tanda kemurkaan Allah SWT.

“Dunia hari ini dilanda wabak penyakit berbahaya dan negara kita juga menerima wabak yang boleh membawa maut kepada sesiapa sahaja.

“Kita kena akui negara kita hari ini banyak maksiat dan Allah SWT turunkan ‘bala’ dalam bentuk penyakit kepada manusia,” jelasnya ketika berucap pada majlis Ceramah Penerangan PAS di Kampung Pagar Ubi, semalam.

Menurutnya, bala penyakit bukan perkara baru malah pernah diturunkan kepada umat terdahulu kerana melanggar perintah Tuhan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus menjelaskan bahawa umat terdahulu dilanda wabak ‘taun’ yang merbahaya serta membunuh manusia kerana maksiat.

Kini, katanya pelbagai jenis penyakit baru ditemui seperti virus HIV yang menyebabkan AIDS, Japanese Ensephalitis (JE) dan Influenza A (H1N1).

“Orang dahulu buat maksiat dapat wabak taun dan hari ini kita (dunia) dapat wabak H1N1 dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Menurutnya, penularan wabak tersebut semakin serius dan negara Malaysia antara yang teruk dilanda H1N1 dengan angka kematian 44 kes.

Katanya, umat Islam tidak boleh mengatasi penyakit tersebut jika tidak kembali kepada ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

sumber: BuletinOnline
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Maksiat punca wabak H1N1"

Post a Comment